• MARii

E-bazaar: Apa kata para usahawan?

Bagi memastikan perniagaan terus beroperasi bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersama pihak relevan telah melancarkan inisiatif e-bazaar.


Berbeza dengan bazar Ramadhan tradisional, di mana perniagaan dijalankan secara fizikal, program e-bazaar membolehkan para usahawan menjual produk melalui platform atas talian seperti Grab dan media sosial dan ini telah membuka jalan bagi usahawan untuk menerapkan digitalisasi dalam perniagaan.


Bagi pengendali bazar, ini merupakan pengalaman pertama. Justeru itu, kami di MARii mengambil kesempatan ini untuk menemubual beberapa usahawan untuk mengetahui pengalaman mengendalikan e-bazaar.


"Inisiatif e-bazaar ini memudahkan saya untuk mendapatkan pelanggan dari negeri lain kerana ketiadaan sempadan geografi dari segi penjualan dan pemasaran produk. Namun, kami hanya dapat menghantar beberapa jenis produk sahaja kepada pelanggan yang tinggal jauh bergantung kepada sifat produk”, kata Mursyidah Syahirah bt Md Said, pengusaha Cakes By Mucy.

Sumber gambar: Mursyidah Syahirah (Cakes by Mucy)


Mursyidah juga menjelaskan bahawa akses kepada pelanggan melalui platform atas talian jauh lebih luas kerana ini membolehkan mereka mengiklankan produk atau perkhidmatan melalui platform digital seperti Instagram dan WhatsApp. Tambahan pula, pengguna sentiasa melayari Internet dan setiap satu berpotensi menjadi pelanggan.


"Sebelum ini, hanya yang berada di bazar akan tahu tentang bisnes kami, tetapi dengan adanya Internet, terutamanya dengan kelebihan iklan atas talian melalui Facebook dan Instagram menjadikan operasi bisnes lebih senang. Kami dapat memanfaatkan kelebihan ini untuk menjual produk kepada pelanggan yang tidak pernah tahu tentang kewujudan kami, sekaligus, meningkatkan penembusan pasaran dengan hanya memerlukan telefon pintar dengan kamera”, tambah Mursyidah.


Nur Atikah binti Mardi, pengusaha Wak's Tebu and Soya berkata bahawa inisiatif e-bazaar memberi manfaat kepada para usahawan serta pembeli. Dari sudut keusahawanan, perniagaan dapat terus beroperasi, yang membolehkan mereka terus memperoleh pendapatan sedangkan orang ramai tidak perlu mengambil risiko keluar dari rumah mereka untuk membeli makanan.

Sumber gambar: Nur Atikah (Wak’s Tebu and Soya)


“Kebiasaannya, kami akan mengupah tenaga kerja tambahan untuk membantu menguruskan gerai dan pelanggan. Sekarang, seiring dengan digitalisasi, syarikat kami telah menjadi perniagaan keluarga. Oleh itu, tenaga kerja tambahan tidak lagi diperlukan dan operasi perniagaan dijalankan di rumah”, kata Nur Atikah.


Pengendalian bisnes dalam talian juga menimbulkan isu logistik (penghantaran produk kepada pelanggan) tetapi dengan adanya pelbagai perkhidmatan penghantaran seperti Grab dan Lalamove, memudahkan peralihan ke arah gaya hidup digital.


“Bagi saya, inisiatif e-bazaar adalah satu langkah positif ke arah digitalisasi, yang menyediakan platform bagi pemilik perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan bisnes mereka. Selain itu, ini memberi peluang kepada para usahawan yang terpaksa menghentikan operasi selaras dengan PKP, serta bagi pengusaha baru menceburi bidang keusahawanan secara digital”, kata Tengku Muhammad Muhaimin bin Tengku Salim dari IC11 Café.

Sumber gambar: Tengku Muhaimin (IC11 Cafe)


E-bazaar adalah pengalaman baru bagi pengguna dan usahawan, tetapi cabaran dapat diatasi dengan mencuba pelbagai cara dan kaedah pemasaran atas talian.


"Satu cabaran yang dihadapi adalah jumlah besar peniaga yang menggunakan platform atas talian. Sebelum ini, hanya mereka yang memiliki pengalaman berniaga akan membuka kedai fizikal. Tetapi sekarang, hanya akaun media sosial, telefon pintar dan kemahiran komunikasi asas untuk menangani pelanggan dan pemasaran diperlukan untuk memulakan perniagaan dalam talian. Walaupun persaingan agak hebat, namun ini adalah persaingan yang sihat”, kata Tengku Muhaimin.


Nur Atikah berkata, "Kami terletak di kawasan luar bandar tetapi kebanyakan pesanan kami datang dari penduduk bandar. Dari sudut logistik, agak sukar untuk mengatur penghantaran kepada pelanggan, tetapi kami mengatasinya dengan menggunakan runner untuk menangani isu penghantaran, selain menggunakan perkhidmatan penghantaran yang sedia ada seperti Grab”.


"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, saya percaya ini adalah cara yang betul untuk maju, terutamanya dalam menerapkan norma baharu yang kita lalui. Ini adalah peralihan yang tidak dapat dielakkan dan satu-satunya cara kita semua dapat berkembang adalah dengan menerapkan dan menyesuaikan perniagaan seiring dengan perubahan global”, tambah Nur Atikah.

Address: Block 2280, Jalan Usahawan 2, Cyber 6, 63000, Cyberjaya, Selangor.

E-mail: info@marii.my

Tel: (+60) 03-8318 7742

Fax: (+60) 03-8318 7743

  • Instagram
  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon

Follow Us On Our Social Media

Contact Us