MARii Perkenal MARiiKerja - Platform digital bagi belia memperoleh pekerjaan di industri


Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), memperkenalkan laman sesawang MARiiKerja, platform untuk mereka yang ingin mencari pekerjaan khusus dalam pelbagai industri, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pembuatan.


Sebagai permulaan, platform digital ini menawarkan jaminan pekerjaan dalam sektor tersebut, khusus kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lepasan industri kemahiran melalui Program Industry-Led Professional Certificate (IPC).


Platform MARiiKerja (mariikerja.my) menggunakan antara muka (interface) yang direka khas bagi membolehkan pencari kerja mendaftarkan diri secara atas talian dengan lebih mudah, pantas dan sistematik, terutamanya dalam situasi perintah kawalan pergerakan semasa pandemik COVID-19.



“MARiiKerja merupakan salah satu langkah berterusan kerajaan dalam mendigitalisasikan proses memperoleh pekerjaan dan memasuki program latihan MARii. Laman ini menjadi lokasi sehenti (one-stop location) bagi mendapatkan informasi mengenai program yang ditawarkan, sekali gus mengurangkan prosedur permohonan”, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato’ Ts. Madani Sahari.


"Walaupun negara berada di dalam kawalan pergerakan, platform ini membolehkan usaha menjana peluang pekerjaan baharu diteruskan, justeru memastikan kelestarian bekalan tenaga kerja yang sentiasa diperlukan oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan", ujarnya lagi.



IPC, yang mula diperkenalkan MARii sejak tahun 2012, adalah salah satu program pembangunan modal insan yang dirangkum bersama pihak industri. IPC menghasilkan tenaga kerja mahir melalui modul khusus serta latihan di tempat kerja (On-job-training).


"Program IPC, yang sehingga kini telah menghasilkan lebih 33,000 graduan latihan, terus mendapat sokongan Menteri Kanan, YB Dato' Seri Azmin Ali dan MITI sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan kadar kemahiran dan membasmi pengangguran di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)", tambah Dato' Madani.


Sepanjang program ini, tiada yuran dikenakan dan semua perbelanjaan sara hidup merangkumi penginapan, pengangkutan, makan dan minum akan ditanggung sepenuhnya. Elaun bulanan dan perlindungan insurans juga disediakan untuk pelatih sepanjang tempoh latihan.



Lazimnya, latihan IPC dijalankan secara semuka di Akademi Teknologi MARii (MARii Academy of Technology), ataupun di pusat-pusat latihan yang diiktiraf. Walau bagaimana pun, jika wujudnya PKP atau keperluan untuk mengurangkan latihan secara semuka, IPC dapat diteruskan secara atas talian - secara langsung kepada pelatih melalui platform MARiiKerja.


Setelah tamat latihan kelas selama 30 hari, para pelatih akan diberikan sijil “Industry Led Professional Certificate (IPC)”. Sijil “Industry Led Professional Certificate – Advanced Apprenticeship Programme (IPC-AAP)” akan diberikan setelah tamat lima bulan latihan praktikal.



Sijil-sijil ini diiktiraf oleh MARii dan pihak industri, serta melayakkan peserta mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah kelolaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu.


"Kami juga sedang mengembangkan platform MARiiKerja untuk mendigitalisasikan lebih banyak program-program pembangunan modal insan MARii, seperti AICE (Automotive Industry Certification Engineering), program Graduan Perantis MARii, DEP (Digital Engineering and Prototyping) dan lain-lain lagi", kata Dato Madani.


Untuk maklumat lanjut dan mendaftar dengan MARiiKerja, sila layari https://www.mariikerja.my/

4,377 views0 comments

Address: Block 2280, Jalan Usahawan 2, Cyber 6, 63000, Cyberjaya, Selangor.

E-mail: info@marii.my

Tel: (+60) 03-8318 7742

Fax: (+60) 03-8318 7743

  • Twitter
  • YouTube
  • Instagram
  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon

Follow Us On Our Social Media

Contact Us