MARii perkenal Prokerja – platform digital bagi kemudahan belia Malaysia cari pekerjaan


Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah melancarkan Prokerja, sebuah laman sesawang yang memberi peluang kepada pencari kerja yang terdiri daripada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lepasan institusi kemahiran, mencari peluang pekerjaan sebagai operator pengeluar di dalam sektor automotif dan pembuatan.


Platform digital yang sudah siapsedia untuk diguna ini dibangunkan dengan tujuan meningkatkan mobilisasi tenaga kerja mahir tempatan dan memastikan penyertaan belia secara optimum melalui penjodohan pencari kerja, dan program-program penempatan pekerjaan bagi belia tempatan yang lebih sistematik.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato’ Madani Sahari, “Dengan mendaftar secara online di Prokerja, pencari kerja berpeluang mendapat pekerjaan melalui Program Industry Led Professional Certificate (IPC). IPC adalah salah satu program pembangunan modal insan anjuran MARii yang dirangka bersama pihak industri. Program ini telah dijalankan sejak dari tahun 2012 dan setakat ini telah melatih lebih 33,000 belia tempatan.”


Antara objektif program ini ialah untuk melahirkan tenaga kerja tempatan mahir dan berteknologi di dalam teknologi pembuatan. Di samping itu, program ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan pihak industri kepada pekerja-pekerja asing dan memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang berkemahiran dan berteknologi dalam sektor automotif dan pembuatan yang makin mencabar dan kian berubah dengan teknologi.

“Prokerja bukan sahaja memudahkan pendaftaran bagi mereka yang berkelayakan malahan ia dapat memberikan impak positif kepada program IPC untuk melahirkan operator pengeluar yang mahir melalui pembelajaran modul-modul khusus dan menjalani latihan industri. Sepanjang tempoh enam bulan program IPC, pelatih akan didedahkan kepada pengetahuan am industri, kemahiran dan budaya kerja bidang perindustrian yang sebenar” tambah Dato’ Madani lagi.

Sepanjang program ini, tiada yuran akan dikenakan dan perbelanjaan hidup merangkumi penginapan, pengangkutan, makan dan minum akan ditanggung sepenuhnya. Perlindungan takaful juga akan disediakan kepada pelatih.

Setelah tamat satu bulan latihan kelas, para pelatih akan diberikan sijil “Industry Led Professional Certificate (IPC)” dan sijil “Industry Led Professional Certificate – Advanced Apprenticeship Programme (IPC-AAP)” akan diberikan setelah tamat lima bulan latihan praktikal. Sijil-sijil ini diiktiraf oleh MARii dan industri-industri di Malaysia dan melayakkan peserta mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah kelolaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu.

“Bagi pihak MARii, kami berharap lebih ramai belia tempatan yang sedang mencari pekerjaan dapat menggunakan kemudahan platform digital Prokerja yang disediakan. Rebutlah peluang ini demi masa hadapan yang lebih terjamin. Menurut rekod, graduan-graduan lepasan program ini telah berjaya menempatkan diri di dalam industri sebagai operator pengeluaran yang menerima gaji kasar di antara RM1,500 – RM2,000 sebulan dan seterusnya menggunakan pengalaman tersebut untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka” seru Dato’ Madani.

Syarat kelayakan untuk menyertai program ini ialah calon perlu berumur 18 - 30 tahun, memiliki sijil SPM/SKM/Diploma dari institusi latihan tempatan atau setaraf dan mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Untuk maklumat lanjut dan mendaftar dengan Prokerja, sila layari www.prokerja.com.my

Address: Block 2280, Jalan Usahawan 2, Cyber 6, 63000, Cyberjaya, Selangor.

E-mail: info@marii.my

Tel: (+60) 03-8318 7742

Fax: (+60) 03-8318 7743

  • Instagram
  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon

Follow Us On Our Social Media

Contact Us