MARii sasar sifar penggunaan buruh asing menjelang akhir tahun ini


Artikel ini diambil dari BERNAMA. Pautan asalnya: http://www.bernama.com/en/business/news.php?id=1808816


Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi agensinya Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyasarkan sifar penggunaan buruh asing dalam industri automotif tempatan menjelang akhir tahun ini.


Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata langkah itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.


“Sebanyak 70,000 kekosongan yang wujud hasil pengurangan tenaga kerja asing dalam industri automotif itu akan diisi oleh pekerja tempatan.


“Kami mempunyai program latihan sijil profesional yang diterajui industri untuk melatih lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama enam bulan merangkumi latihan dalam kelas selama sebulan dan lima bulan latihan semasa kerja. Sebaik tamat latihan, mereka boleh terus bekerja dengan vendor,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Victorious Step Sdn Bhd (VStep) di sini hari ini.


Madani berkata buat permulaan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Proton Holdings Bhd (Proton) telah bersetuju untuk mengurangkan 40,000 pekerja asing dalam 200 vendor peringkat satu pada tahun ini.


Ketika ini jumlah pekerja asing merangkumi 70,000 daripada 220,000 pekerja peringkat satu dan dua dalam industri automotif.


Beliau berkata usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing telah dimulakansejak 2014 dan sehingga tahun lepas, seramai 32,000 pekerja asing telah digantikan dengan rakyat tempatan.


Ketika ditanya mengenai kos impak susulan daripada langkah tersebut, Madani berkata berdasarkan analisis kos-faedah MARii, ia tidak akan meningkatkan kos vendor.


Beliau berkata tidak seperti pekerja asing yang perlu kembali ke negara asal sebaik tamat tempoh berkhidmat, pekerja tempatan akan terus berada di negara ini, sekali gus mengurangkan kos latihan semula pekerja.


“Tambahan pula, wujud kos dari segi levi pekerja asing, pasport dan kos lain yang berkaitan termasuk pekerja asing yang perlu ditanggung oleh majikan,” katanya sambil memaklumkan adalah lebih murah untuk menggajikan pekerja tempatan berbanding pekerja asing.


Mengenai MoA berkenaan, Madani berkata ia akan membantu VStep sebagai pembekal alatan dan komponen tempatan yang mengkhusus dalam pengacuan suntikan, untuk memulakan transformasi nilai tambah menerusi penggunaan teknologi automasi pintar.



-- BERNAMA

0 views

Address: Block 2280, Jalan Usahawan 2, Cyber 6, 63000, Cyberjaya, Selangor.

E-mail: info@marii.my

Tel: (+60) 03-8318 7742

Fax: (+60) 03-8318 7743

  • Instagram
  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon

Follow Us On Our Social Media

Contact Us