Perodua Bezza 2020 dilancarkan, 5,600 dijangka dihantar menjelang akhir Januari

Perodua Bezza 2020 telah dilancarkan secara rasminya di Malaysia, dan Perodua menjangkakan penyerahan kira-kira 5,600 unit dalam bulan Januari.



Dilancarkan pagi tadi di Sentul Depot, Sentul West oleh Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin, Perodua Bezza 2020 menambah gaya kontemporari dan teknologi keselamatan canggih kepada pakej kompak dan menarik yang terus menawarkan kecekapan bahan api, kebolehpercayaan, ruang yang luas, praktikaliti, mudah dipandu dan kos pemilikan rendah.

Dengan harga atas jalan sebelum insuran di Semenanjung Malaysia bermula RM34,580 hingga RM49,980, Perodua Bezza 2020 didatangkan dalam varian 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT.


“Perodua Bezza 2020 merupakan hasil gabungan maklum balas daripada para pelanggan kami yang dihargai. Penambahbaikan yang kami laksanakan adalah berteraskan rekaan bijak, pemanduan bijak dan keselamatan bijak,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.



Perodua Bezza 2020 tampil lebih yakin dengan lampu hadapan LED yang terdapat pada semua varian dan bampar hadapan rekabentuk baharu.


Skirt sisi dwi-tona, juga terdapat pada semua varian, bersama dengan bampar belakang rekabentuk baharu dan rim aloi 10-jejari 15-inci (pada varian-varian 1.3 liter), memberikan rupa keseluruhan yang kukuh dan yakin.


Dua warna luaran baharu bagi Bezza – Garnet Red (bagi varian-varian 1.3 liter sahaja) dan Granite Grey – menyertai empat warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Kombinasi meter beriluminasi putih menaikkan lagi gaya sudut dalaman, manakala sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan turut terdapat pada varian-varian 1.3 liter.


Semua varian didatangkan dengan cermin sisi berkuasa boleh laras dan sensor undur; varian AV pula menambah kamera undur dan cermin sisi yang boleh dilipat dengan menekan butang.


Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 2.0 kini memasuki barisan Perodua Bezza menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri sedemikian yang paling mampu milik di Malaysia.


ASA 2.0 yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

Di samping itu, varian X kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.


“Dengan bahagian atas badan yang dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua, Bezza merupakan sedan pertama kami dan juga sedan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada 2016. Setakat ini, sebanyak 184,000 unit telah dijual di Malaysia.


“Kami yakin Perodua Bezza 2020 yang lebih berani dan bijak ini akan terus digemari ramai – sasaran jualan kami adalah sebanyak 4,000 unit sebulan secara purata.


“Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Perodua Bezza 2020 serta memandu ujinya, anda boleh mengunjungi mana-mana pusat jualan kami di seluruh negara dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah. Layari juga laman web kami yang diperbaharui di www.perodua.com.my untuk mengetahui perkembangan terkini Perodua,” katanya.


Perodua Bezza 2020 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

*ASA adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran dan bukan pengganti pemanduan selamat. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu.




Address: Block 2280, Jalan Usahawan 2, Cyber 6, 63000, Cyberjaya, Selangor.

E-mail: info@marii.my

Tel: (+60) 03-8318 7742

Fax: (+60) 03-8318 7743

  • Instagram
  • Facebook Social Icon
  • LinkedIn Social Icon

Follow Us On Our Social Media

Contact Us