Peluang pekerjaan melalui program "Industry Certification Engineering (ICE)" anjuran MARii



UNTUK SIARAN SEGERA


PELUANG PEKERJAAN MELALUI PROGRAM "INDUSTRY CERTIFICATION ENGINEERING (ICE)" ANJURAN MARii


CYBERJAYA, 6 JULAI 2021 - Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mengumumkan penjenamaan semula program Automotive Industry Certification Engineering (AICE - Sijil Industri Kejuruteraan Automotif) kepada Industry Certification Engineering (ICE - Sijil Industri Kejuruteraan), menandakan terbukanya program ini kepada industri-industri selain industri automotif.


Program ICE dirangkum bagi merapatkan jurang kepada graduan kejuruteraan (dan bidang berkaitan) untuk beralih pantas dari universiti, justeru memenuhi cabaran bekerja di dalam kepelbagaian industri.


Program ini merangkumi latihan dalam kelas selama sebulan, diikuti dengan lima (5) bulan latihan di tempat kerja (OJT) di industri. Latihan ini termasuk proses pembuatan, lean production, pengurusan kualiti, reka bentuk & analisis kejuruteraan dan kemahiran insaniah bagi mencapai prestasi profesional dan cekap. Pelatih juga berpeluang untuk diserap sebagai warga kerja tetap selepas tamat program.


Program ICE terbuka kepada semua graduan warganegara Malaysia berusia 20 hingga 27 tahun yang memperoleh ijazah sarjana muda ataupun sijil diploma di dalam bidang kejuruteraan ataupun bidang-bidang berkaitan. Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada program ini meningkatkan kebolehpasaran graduan mendapat pekerjaan yang bernilai tinggi di dalam pelbagai industri. Program ini dibangunkan mengikut keperluan dan maklum balas industri, berdasarkan kerjasama di antara pemain industri dan institusi pengajian tinggi di Malaysia.


"Disebabkan kepelbagaian disiplin kejuruteraan yang ditawarkan pihak universiti, program ICE menggabungkan pengetahuan daripada sukatan pelajaran asas (di universiti) dengan kemahiran yang membawa impak segera di dalam persekitaran industri yang kini amat mencabar", kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato' Ts. Madani Sahari.


"Kemahiran yang diperoleh daripada program ICE bukan sahaja diguna pakai di dalam industri automotif dan pembuatan sahaja. Malah, ianya relevan kepada semua industri, bukan hanya bertujuan untuk membekalkan industri dengan graduan berkualiti, tetapi juga untuk memenuhi permintaan majikan yang bakal terbuka selepas pemulihan pandemik kelak", tambahnya lagi.


Majikan yang mencari graduan kejuruteraan (peringkat permulaan) boleh menghubungi pihak MARii untuk merekrut graduan program ICE, ataupun bekerjasama dengan bahagian pembangunan modal insan MARii bagi merangka program latihan yang disesuaikan khusus kepada program orientasi sesuatu syarikat.


MARii juga bekerjasama rapat dengan pelbagai organisasi kerajaan bagi membangunkan program ICE yang disesuaikan kepada keperluan spesifik sesuatu sektor, dan membantu di dalam proses pemerkasaan graduan melalui rangkaian luas syarikat-syarikat yang telah bersama-sama menjayakan program ICE sejak 2012.


Setakat tahun 2020, program AICE telah meningkatkan keupayaan 4,656 graduan, dan MARii menyasarkan untuk melatih 1,000 peserta program ICE pada tahun 2021.


Untuk maklumat lanjut mengenai ICE, hubungi info@marii.my.

121 views0 comments