Pemain dan kakitangan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) laksana ujian antibodi Immusafe



UNTUK SIARAN SEGERA

PEMAIN DAN KAKITANGAN KELAB BOLA SEPAK SELANGOR (SFC) LAKSANA UJIAN ANTIBODI IMMUSAFE

SHAH ALAM, 15 OKTOBER 2021 - Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), RZAC ImmuneSAFE Sdn Bhd dan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) telah bekerjasama dalam melaksanakan ujian antibodi ImmuSAFE bagi pemain dan kakitangan SFC menggunakan kit ImmuSAFE.

Seramai 80 pemain dan kakitangan menjalani sesi ujian antibodi di Pusat Latihan FAS, Shah Alam hari ini, dan dihadiri oleh Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif SFC, yang turut serta mengambil ujian antibodi ImmuSAFE.

Ujian ImmuSAFE adalah ujian serologi kuantitatif yang membolehkan kiraan tahap antibodi pelindung dalam seseorang individu selepas jangkitan, ataupun selepas divaksinasi.


Keputusan ujian ini penting dalam menentukan keberkesanan vaksin, mahupun keperluan menjalani dos tambahan. Bagi SFC, ini membantu pengawalan dan pengurusan gelembung pemain di bawah Kelab, setelah setiap pemain dan kakitangan mendapat keputusan daripada ujian ImmuSAFE tersebut.

"Kerjasama ini diharap dapat membawa dimensi baharu kepada industri sukan tanah air, di mana aktiviti sukan kontak rapat dapat dilaksanakan semula melalui penjagaan SOP yang ketat dan teratur seiring pelaksanaan ujian serologi COVID-19", kata Dato' Madani Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

ImmuSAFE, yang dilancarkan pada September 2020 merupakan kit ujian serologi (ujian serum darah) pertama di dunia untuk mengesan kehadiran antibodi berkaitan sembilan domain virus SARS-CoV-2 yang berbeza. Keputusan ujian ImmuSAFE memberikan maklumat mengenai faktor risiko keberjangkitan dan juga kehadiran antibodi pelindung terhadap Covid-19 pada individu bergejala dan tidak bergejala.


“Melalui ImmuSAFE, pengurusan program vaksinasi para pemain dan pegawai Selangor akan lebih sistematik dan mereka juga akan lebih yakin dengan tahap perlindungan antibodi semasa menjalani latihan dan perlawanan bola sepak secara kontak. Kami berterima kasih kepada MARii dan RZAC kerana memberikan kami akses kepada penggunaan teknologi baharu agar sukan bola sepak tanah air dapat diteruskan semasa pandemik ini”, kata Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon.

“Penerimaan ImmuSAFE di dalam industri sukan menunjukkan bahawa penggunaan ujian antibodi ImmuSAFE adalah universal dan dapat menambahbaik usaha yang sedia ada dalam melawan wabak COVID-19”, kata Dato’ Sri Rayyan Joseph King, Pengarah RZAC.


Untuk maklumat lebih lanjut mengenai ImmuSAFE, sila hubungi info@immusafe.my atau layari www.immusafe.my.

28 views0 comments